Congkak sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji guli dan lain-lain. Di utara semenanjung ianya dipanggil juga Jongkok.
Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu.
Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu. Lubang sebesar 9sm. garis pusat dan 7sm. dalam ditebuk atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor terkena tanah.
Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain yang disebut kampung. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang besar dan dalam dinamakan rumah. Jumlah kampung yang biasa terdapat pada papan congkak ialah lima, tujuh atau sembilan sebaris. Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak sama banyak.
Terkenang zaman kanak-kanak dahulu kami akan membuat lubang congkak di bawah rumah arwah datuk.Buahnyanya kami gunakan batu yang dikutip dari Sungai Temong. Nak beli guli mana mampu pada waktu itu.Kalau musim buah getah barulah kami gantikan batu-batu itu dengan buah getah.Yang pasti lepas main congkak tangan terutama kuku pasti kotor,tapi biasanya anak-anak kampung jarang sakit(lasak kata orang kampung).Kini rumah arwah datuk di Kampung Kampar masih kukuh berdiri,cuma tiada siapa yang tinggal.Mujurlah Pak Cik Kudus masih ada dikampung menjaga rumah pusaka itu buat kami berkumpul di hari raya.
No comments:
Post a Comment